Alam dihukumkan dengan kiamat dan setiap yang hidup dihukumkan dengan mati. Manusia hidup dalam dunia, mati dalam dunia dan dibangkitkan daripada dunia. Dunia yang dikenali sebagai medan asbab akan melahirkan berbagai-bagai usaha dan tindakan. Sifat dunia tidak mengizinkan usaha dan tindakan melahirkan hasil yang sempurna. Banyak daripada pokok yang ditanam tidak sempat berbuah atau buahnya tidak semanis yang dijangkakan. Tuhan memperingatkan bahawa apa juga yang manusia tanam di dunia buah yang sempurna muncul di akhirat. Buah yang manis, masam atau beracun akan dirasai dengan sempurna setelah berlaku kiamat. Apa yang diperolehi di dalam dunia lebih banyak bersifat bayangan yang menipu-daya.
Manusia terdiri daripada dua jenis anasir iaitu tubuh zahir dan hati seni. Gabungan anasir zahir yang kasar dengan anasir rohani yang seni membuat manusia boleh berfungsi sebagai cermin yang membalikkan wajah yang memandang kepadanya. Tubuh kasar umpama muka cermin yang gelap di sebelah belakang dan rohani pula umpama muka cermin yang terang di hadapan. Susunan manusia yang demikian menyebabkan manusia boleh menerima suluhan cahaya Ilahi. Kebolehan ini dinamakan mengenal Tuhan melalui mata hati. Makhluk yang mempunyai satu jenis badan sahaja tidak memiliki kebolehan yang demikian. Malaikat yang hanya memiliki badan yang terang dan haiwan yang hanya memiliki badan yang kasar tidak boleh berfungsi sebagaimana manusia. Malaikat hanya mengenal Tuhan dalam satu aspek sahaja iaitu aspek tanzih. Haiwan pula tidak mengenal Tuhan. Hanya manusia yang boleh mengenal Tuhan dalam aspek tanzih dan tasybih, iaitu Tuhan yang tidak serupa dengan sesuatu dan Dia yang memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat-Nya.
Sifat semulajadi manusia yang mampu menerima suluhan cahaya Ilahi itu tertutup kerana manusia hidup di dalam dunia. Dunia menjadi anasir yang merosakkan gabungan badan yang gelap dengan rohani yang cerah. Dalam dunia ini wujud satu jenis makhluk yang diciptakan daripada cahaya api, dinamakan syaitan berbangsa jin. Cahaya api syaitan ini boleh menyelinap masuk ke dalam badan manusia yang gelap dan menjadikannya lutsinar, menyebabkan suluhan yang datang dari alam ghaib tidak melekat pada cermin hati. Peringatan yang di sampaikan oleh nabi-nabi tidak berbekas pada hati. Sekalipun nabi-nabi memperlihatkan mukjizat namun hati tetap tidak dapat melihat kebenarannya. Beginilah yang terjadi kepada manusia yang hidup di dalam dunia dan diganggu oleh cahaya api syaitan. Badan cahaya api syaitan menjadi tembok menghalang cahaya kebenaran daripada masuk ke dalam hati. Apabila cahaya kebenaran tidak melekat pada hati maka hati tidak mengenal apakah yang benar. Hati yang sudah jahil itu menjadi kain putih yang menerima apa sahaja yang ditayangkan oleh syaitan. Syaitan mengadakan berbagai-bagai gambaran dan dihantarkannya kepada hati. Hati menyangkakan bentuk yang dihantar oleh syaitan itulah kebenaran. Hasilnya muncullah penjelmaan mengambil alih tempat kebenaran. Penjelmaan gubahan syaitan itulah yang diterima oleh manusia sebagai yang benar. Manusia yang di dalam keadaan sedemikian beramal menurut gubahan syaitan tetapi menyangkakan mereka berada di atas jalan yang lurus. Lahirlah keyakinan yang dibina di atas asas yang sesat. Ada manusia menyembah batu dengan menyangkakan itulah jalan yang benar. Ada manusia membunuh diri dengan keyakinan mereka mati syahid. Amalan sesat telah menjadi kepercayaan yang suci lantaran mereka diperdayakan oleh syaitan.
Dunia yang dihuni oleh syaitan melahirkan berbagai-bagai tipu daya. Semua bidang kehidupan manusia diresapi oleh tipu daya syaitan. Syaitan membina jalan yang selari dan hampir dengan jalan yang lurus dan diperhiaskan jalan itu sehingga apa sahaja yang ada padanya kelihatan bersesuaian dengan jalan yang lurus. Akibat perhiasan yang dipamerkan oleh syaitan, fitrah manusia hilang kekuatan untuk melonjak kepada fitrah Muslim. Mereka berpuas hati dengan berpegang kepada fitrah kemanusiaan sahaja dan dalam keadaan yang demikian fitrah kemanusiaan tidak berkekuatan menyekat tarikan syaitan. Akibatnya nilai-nilai murni kemanusiaan dicampur adukkan dengan nilai-nilai palsu yang datang dari syaitan. Ramai daripada penganut agama Islam sendiri mencampur adukkan nilai Islam dengan nilai syaitan. Di sana sini banyak terjadi orang yang bersembahyang tetapi masih melakukan perbuatan zina dan meminum arak. Orang yang menunaikan fardu haji masih melakukan rasuah. Orang yang berpuasa tetapi masih mencuri dan menipu. Orang yang mengucapkan dua Kalimah Syahadah masih juga pergi ke kubur-kubur kerana meminta nombor toto. Perilaku orang yang mengaku beragama Islam tidak berbeza dengan orang yang ternyata kafir. Semua itu terjadi kerana warna syaitan melindungi warna kebenaran. Orang yang telah menerima dan mengguna-pakai warna syaitan itu dinamakan ahli dunia.
Dalang yang mengarahkan perjalanan ahli dunia adalah raja syaitan iaitu iblis. Iblis adalah sumber kejahatan dan syaitan adalah penyebar kejahatan iblis itu. Iblis sentiasa mengheret manusia supaya menyalahi ubudiah kepada Tuhan. Iblis memasukkan sifat-sifatnya kepada manusia bagi menyekat atau melengah-lengahkan mereka menunaikan perintah Tuhan. Sifat iblis adalah kufur atau engkar kepada kebenaran. Apabila sifat iblis membaluti hati manusia ia akan bertindak sebagai tenaga yang menghalang apa juga kebenaran yang mahu masuk ke dalam hati. Walaupun akal boleh menerima sesuatu kebenaran itu namun tenaga yang muncul daripada sifat iblis menghalang hujah akal daripada diterima oleh hati. Sebab itu orang yang mengenal dan mengakui kebenaran masih juga menolak kebenaran itu dan berbuat yang tidak benar. Orang yang mengakui berzina adalah berdosa tetapi masih juga melakukannya. Orang yang mengakui rasuah itu berdosa masih juga berbuat rasuah. Bahkan orang-orang yang menggubal undang-undang berdasarkan kebenaran yang diperolehi melalui akalnya masih juga melanggar undang-undang tersebut. Akal mengakui kewajipan bersembahyang dan anggota melakukan perbuatan sembahyang tetapi hati yang dikuasai oleh sifat iblis tidak mampu lari daripada kemaksiatan.
Syaitan menjadi ejen yang menghantar sifat-sifat iblis kepada manusia. Syaitan masuk ke dalam tubuh manusia melalui perjalanan darah. Darah yang dimasuki oleh syaitan akan menerbitkan rangsangan atau dorongan yang mengajak manusia melakukan kejahatan. Syaitan hanya mampu memberi rangsangan tetapi tidak mampu menggerakkan anggota manusia untuk melakukan sesuatu. Nafsu manusia sendiri yang bertindak menggerakkan anggotanya supaya melakukan kejahatan sebagaimana yang dirangsang oleh syaitan. Nafsu adalah umpama tuan rumah dan syaitan umpama pendatang haram. Tuan rumah sendiri yang mengizinkan pendatang haram memasuki rumahnya dan membiarkannya memerintah di dalam rumah itu. Syaitan bertindak sebagai pengajar dan nafsu yang menerima pengajaran syaitan bertindak sebagai pelaku.
Nafsu yang jahat, seperti tuan rumah yang jahat, melakukan kejahatan di dalam rumahnya walaupun kejahatan daripada luar tidak masuk. Nafsu yang rendah memang cenderung kepada kejahatan walaupun tidak menerima rangsangan syaitan. Rangsangan syaitan ditujukan kepada perkara yang menyalahi ubudiah, kederhakaan kepada Tuhan, berbuat syirik dan kufur terhadap kebenaran. Apabila manusia menolak satu rangsangan jahat, syaitan dengan cepat mencadangkan kejahatan yang lain. Asal sahaja kejahatan dilakukan syaitan sudah berasa senang dan puas. Jika syaitan gagal merangsang manusia supaya meninggalkan sembahyang, syaitan akan berpindah kepada merangsang agar manusia bersembahyang dengan lalai. Jika manusia berjaya meneruskan sembahyangnya sehingga selesai, syaitan beralih kepada merangsang agar manusia berasa riak dengan sembahyangnya. Sikap nafsu berbeza dengan sikap syaitan. Nafsu gemar kepada perkara-perkara yang menyeronokkan, suka kepada kebesaran dan kemuliaan dan cenderung kepada yang melalaikan. Tabiat nafsu, jika ia inginkan sesuatu, ia akan mengejar atau menanti sesuatu itu. Ia tidak mahu menyerah kalah sebelum ia mendapatkannya. Ia boleh mendiamkan diri walaupun bagi tempuh yang lama. Bila ada kesempatan ia akan muncul semula, selagi keinginannya belum tercapai. Cita-cita merupakan bakat nafsu. Mencitai kesejahteraan hidup adalah bakat nafsu yang baik. Banyak pula bakat nafsu yang tidak baik. Nafsu yang menginginkan seorang perempuan cantik tidak berhenti mengingininya walaupun perempuan itu sudah menjadi isteri orang lain. Sebab itulah nafsu yang tidak dikawal oleh iman sanggup merosakkan rumah tangga orang lain demi mencapai keinginannya. Begitu juga keinginan nafsu kepada kereta mewah. Ketika tidak mampu ia mendiamkan diri. Sebaik sahaja ada kemampuan, kereta mewah yang diingininya itulah yang pertama sekali dibelinya. Keinginan dan cita-cita nafsu tidak mudah berubah, tetapi rangsangan syaitan mudah berubah daripada satu kejahatan kepada kejahatan yang lain. Nafsu yang rendah merosakkan nilai-nilai murni kemanusiaan dan syaitan pula merosakkan kehambaan kepada Tuhan. Gabungan keduanya menjadikan manusia golongan yang engkar dan berbuat maksiat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar